Dengan nama ALLAH yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, dari limpah kurniaNya Madrasah Tahfiz Al Quran Al Marjan ditubuhkan pada 17 Februari 2010, di Jabal Malut, di Pulau Langkawi, bertempat di Masjid Bukit Malut. Al Marjan membawa makna permata dari lautan. Pada masa ini, Madrasah Al Marjan ialah satu-satunya madrasah tahfiz yang seumpamanya yang wujud dan aktif di pulau ini.
Madrasah Tahfiz Al Quran Al Marjan ditubuhkan dengan hasrat untuk:
- Memuliakan Kalam ALLAH
- Menjaga, mendidik dan mengasuh anak-anak dari golongan yang memerlukan dengan didikan Islam yang mantap
- Memberi nikmat kasih sayang serta perhatian seorang ibu dan ayah kepada para pelajar melalui kakitangan dan Jemaah Khadim Madrasah
- Melahirkan generasi yang mencintai kalam Ilahi, menghafaz, memahami dan mengamalkannya serta menyebarkannya kepada orang lain, demi kesuburan Islam
- Melahirkan generasi yang mengamalkan sunnah Nabi dan beramal dengannya
- Melahirkan generasi Islam yang berilmu, beriman, beramal, berjiwa besar serta berakhlak mulia untuk menjadi amirul mukminin.
- Menjalinkan kasih sayang antara anak yatim dan masyarakat luar umumnya yang sama-sama ingin membuat kebaikan atas dasar mencintai Allah dan sunnah Rasulullah s.a.w.
Berasaskan hasrat murni memberi pendidikan Islam kepada golongan yang memerlukan, Madrasah Al Marjan meletakkan keutamaan kemasukan kepada anak-anak yatim, anak-anak fakir miskin serta muallaf. Kumpulan pertama pelajar terdiri permata-permata yang terdiri daripada 22 orang pelajar lelaki tempatan, berumur antara 6-16 tahun.
Proses pengajian dan pembelajaran dikendalikan di kawasan Masjid Bukit Malut, atas persetujuan dan keizinan pihak pengurusan masjid, sementara kerja-kerja membaik pulih dan mengubah suai sebuah setor masjid untuk dijadikan asrama madrasah dilaksanakan.
Kakitangan Madrasah Tahfiz Al Quran Al Marjan terdiri daripada 5 orang sukarelawan fisabilillah: seorang guru fardhu-ain merangkap Mudir, seorang guru Hafiz, seorang tukang masak dan dua orang khidmat am.
Urusan pentadbiran Madrasah Tahfiz Al Quran Al Marjan dipertanggungjawabkan kepada Jemaah Khadim iaitu Ahli Jawatankuasa Masjid Bukit Malut, penduduk tempatan, jemaah khadim Surau Pasar Malam Changlun, Kedah dan Persatuan Cina Muslim Kedah/Perlis serta beberapa individu dari dalam dan luar negara.
SUMBER KEWANGAN: TIADA sebarang yuran dikenakan kepada pelajar-pelajar Madrasah Tahfiz Al Quran Al Marjan. Madrasah beroperasi bersandarkan kepada rahmat ar-Rahman ar-Rahim; menerusi sumbangan dan bantuan dari pelbagai pihak; seperti beberapa orang penduduk tempatan yang menghantar bantuan makanan laut beberapa kali sebulan ke madrasah. Bantuan juga tidak pernah putus hasil dari pemberian pelbagai pihak dan individu lain, yang sentiasa datang hasil dari rahmat Nya.
No comments:
Post a Comment