Semua ahli Jemaah Khadim hendaklah berikhtiar untuk kurang, atau tidak langsung, meminta-minta kepada makhluk (tetapi tidak terhad kepada iklan kerjasama atau hebahan am) dalam memenuhi sebarang keperluan madrasah. Pendekatan ini diambil bukan kerana kita terlalu mulia, tetapi untuk mengelakkan terkurangnya pengharapan kita kepada Allah (dan kebergantungan kepada sesama insan) kerana kita Jemaah Khadim juga adalah pelajar-pelajar yang belajar memperhambakan diri kepada Penciptanya.
Segala kejadian adalah dari kesempurnaan Yang Maha Sempurna. Biar setiap detik, sama ada dalam sedar atau tidur, kita ada hubungan denganNya. Matlamat kejayaan yang sebenar ke arah keredhaan menjadi hamba Allah. Mudir perjuangan Madrasah Tahfiz Al Quran Al Marjan ialah Muhammad S.A.W – seorang anak yatim, dia hanya menyembah dan bermohon kepada Allah; dan telah Allah tunjukkan kepadanya jalan yang lurus.
Semoga kita juga melalui jalan yang lurus yang ternyata cepat dan selamat, agar dapat juga kita merasai nikmat sebagaimana yang telah dikurniakan kepada orang-orang yang terdahulu.
Sebagai pejuang fisabillilah, Jemaah Khadim mengambil sikap memberi, dan tidak meminta tetapi boleh menerima sumbangan, zakat, hadiah, infaq atau apa saja istilah sumbangan untuk madrasah. Jauhi segala pujian supaya Jemaah Khadim dilihat seumpama seekor semut hitam yang berjalan di atas batu hitam di waktu malam yang gelap gelita, agar jiwa kita diterangi dengan suluhan hidayah Allahu Rabbi. Bertemu dan berpisahlah kita kerana Allah. Tumpahkan kasih sayang kepada yatim, fakir miskin dan golongan yang memerlukan supaya kita lebih merasai nikmat kasih dan sayang Allah.
Wadah perjuangan kita ialah ilmu, iman, amal dan ikhlas. Bukan kemasyhuran atau status yang menjadi impian. Senjata utama kita ialah keikhlasan dan zikrullah.
No comments:
Post a Comment