Search This Blog

Saturday, December 31, 2011

NIKMAH AR-RAHMAN AR-RAHIM

   
    ALHAMDULILLAH  segala puji kepada ALLAH, RABB sekelian alam dan isinya. Yang jiwa-jiwa kita didalam genggamanNya.Yang memberi makan pada jiwa dan jasmani yang sentiasa lapar.Yang memberi pakaian melindungi panas dan sejuk membendung nafsu jiwa dan jasad insan.Yang membangunkan kita dari tidur yang lena lagi sentiasa leka kepada terlebihnya cinta keduniaan yang penuh dengan perhiasan harta,senda gurauan yang tiba-tiba akan lenyap apabila jiwa diceraikan oleh jasad. Sesungguhnya  ALLAH itu Rabb yang Maha Mulia. AR-RAHMAN AR-RAHIM itu lebih dekat dari mata hitam dan putih insan,lebih dekat kepada kita dari urat nadi yang sentiasa bergetar mengikut perintah AL-MALIK yang memberi rezeki kepada ikan-ikan dilautan dan burung-burung yang berterbangan melebarkan sayapnya pagi dan petang. Lalu mereka-mereka itu sentiasa bertasbih dan menyembah ALLAH Rabb yang meminjamkan jiwa. Rabb yang menciptakan Muhamad S.A.W sebagai rahmat kepada sekelian alam bagi menunjukkan jalan yang haq dan mencegah kebathilan. Salam penuh takzim kepada Nabi Muhammad s.a.w,keturunannya,para anbia,siddiqin,solihin,syuhada,sahabah dan arifin,ustaz-ustaz,orang-orang mukim dan kedua ibubapa kami yang telah membuka jalan kepada pendekatan diri kepada yang menghidup dan yang mematikan kedalam rahmat pencipta segala pencipta iaitu RABB YANG MAHA PENGASIH LAGI MAHA PENYAYANG iaitu ALLAH SUBHANAHU WATAALA. Kami mohon kepada ALLAH agar catitan ini dijauhkan penulis dan pembacanya daripada sifat-sifat dan emosi perosak iman dan agama yang membawa kepada syirik,riak,nifak dan kufur tetapi mendorong kepada pengharapan agar ditambahkan hidayah lalu jadikanlah kami sebagai insan-insan yang bersyukur agar ALLAH redha kepada kita hamba-hambaNya.
         Assalamualaikum warahmatullah saudara-saudari dan sahabat-sahabat Madrasah yang menyokong dan mendokong perjalanan Madrasah dijalan Allah dari dekat dan jauh,dalam tidur dan sedar kita Madrasah telah  diizin Allah terus hidup dan melalui berbagai ujian dan rintangan menuju arah kejayaan. Inilah nikmat kasih sayang Allah kepada insan. Saudara-saudari yang dekat,terima kasih diatas sokongan dan bantuan kewangan,makanan,pakaian dan kasih sayang kepada pelajar-pelajar dan kakitangan. Saudara-saudari yang jauh,terima kasih diatas kiriman Zikrullah dan doa kerana bantuan Allah sentiasa kami nikmati selagi saudara-saudari mengingati Allah. Jazakallahu khairan kathira kepada semua. Biarlah Madrasah ini menjadi salah satu sebab saudara-saudari menambahkan zikrullah kepada Allah. Sedekah yang paling mulia ialah zikrullah dan zikrullah yang paling mulia ialah membaca Al-Quran sehingga Nabi s.a.w pernah bersabda bahawa sekiranya kita tidak berkesempatan untuk berdoa kerana sibuk membaca Al-Quran,Allah akan tetap menyempurnakan hajat-hajat insan. Sungguh Maha Adil Allah itu kerana orang-orang yang miskin harta pun boleh bersedekah iaitu melaui Zikrullah. Moga-moga Al-Quran dan pelajar-pelajar kita menjadi saksi di akhirat nanti bahawa hidup kita didunia ini ada pegisiannya walaupun sedikit supaya nanti diakhirat kita tidak malu termangu-mangu dihadapan Allah apabila ditanya apakah yang telah kita perbuat semasa hidup didunia. Mungkin kita akan malu kerana orang-orang cacat anggota pun sentiasa mengingati Allah.
          Diantara lapuran terkini Madrasah ialah pelajar-pelajar telah bertambah kepada 41 orang. Daripada jumlah tersebut 21 orang(termasuk seorang pelajar yang dulunya bisu)  masih belajar Iqra' manakala 12 orang mengenal al-Quran dan 9 orang menghafal Al-Quran. Pelajar-pelajar terbaik ialah 2 orang pelajar dari Cambodia yang masing-masing telah menghafaz 20 juzuk dan seorangdari Burma yang telah menghafaz 19 juzuk.Pelajar-pelajar terbaik ini berhasrat untuk menjadi tenaga pengajar diMadrasah setelah tamat pengajian.Walaubagaimana pun Jemaah Khadim berazam untuk menghantar mereka mendalami ilmu diYaman sehingga mereka menjadi alim.
           Jumlah kakitangan masih lagi 4 orang iaitu, 1 ustaz Fardhu Ain merangkap Mudir, 2 ustaz Hafiz dan seorang tukang masak. Kami berhasrat untuk menambah seorang lagi Ustaz Hafiz apabila kewangan Madrasah bertambah stabil. Untuk sementara waktu kami terpaksa menangguhkan lebih kurang 8 permohonan kemasukan pelajar permulaan Iqra'( bukan dari kalangan yatim) kerana masaalah kekurangan kakitangan dan kesesakan asrama ,kelas dan kemudahan tandas.Walau bagaimana pun Madrasah akan tetap menerima kemasukan pelajar-pelajar dari kalangan anak yatim. Kami sedang berikhtiar untuk membina satu tingkat lagi bangunan asrama/kelas diatas bangunan yang tersedia ada. Anggaran kos ialah rm12000 menggunakan bahan binaan terpakai dan akan dibina secara gotong royong  bersama penduduk dan pelajar-pelajar.
          Diantara cubaan dan ujian yang dihadapi oleh Madrasah ini ialah masaalah pendaftaran dengan Majlis Agama kerana tapak Madrasah dan Masjid Bukit Malut telah menjadi hakmilik sebuah syarikat binaan Cina yang membenarkan kami berada disini untuk jangkamasa paling lama 3 tahun lagi. Syarat pendaftaran ialah hakmilik tanah yang jelas atau pun status wakaf. Kesan daripada masalah pendaftaran ini ialah pelajar-pelajar dari Cambodia,Burma dan Thailand terpaksa berulang alik keThailand setiap bulan untuk urusan passport kerana visa yang diberikan hanya kepada Madrasah yang berdaftar.Banyak masa dan wang terpaksa digunakan melalui proses ini. Ada juga kalangan dermawan budiman yang terpaksa menangguhkan sumbangan kewangan kepada Madrasah kerana sumbangan mereka kepada Madrasah yang tidak berdaftar tidak boleh mengurangkan cukai pendapatan mereka. Agensi-agensi kerajaan juga tidak dapat menyempurnakan hasrat mereka kerana masalah yang sama.Moga-moga Allah telah mencatitkan hasrat mereka sebagai pahala kebajikan. Ya Allah, hamba-hambaMu bermohon bantuan kepada Madrasah kerana Khadijah Khuwailid,Umar al-Khattab,Uthman Affan dan Abdul Rahman Auf telah lama mati.
          Cubaan lain ialah kesesakan asrama dan kelas. Jemaah khadam Madrasah cuba untuk istiqamah dengan polisi UNTUK MENERIMA ANAK-ANAK YATIM WALAU PUN KAMI SANGAT DHAIF tanpa mengenakan yuran kerana kami ingin menjadi HAMBA ALLAH. Daripada jumlah pelajar-pelajar yang ada 15 orang ialah yatim,yang lain-lain ialah fakir miskin atau dari keluarga yang bercerai. Kami merasa hiba apabila melihat mereka tidur didalam asrama atau kelas yang sempit tanpa tilam atau bantal yang mencukupi kerana kelemahan kami dalam menyediakan kemudahan-kemudahan seperti ini kerana makan minum dan pelajaran mereka lebih utama. Pelajar-pelajar ini ialah insan-insan yang lebih mulia dari kami kerana mereka tidak pernah menzahirkan kesusahan atau kedukaan kepada makhluk. Ya Allah,ampunilah kami kerana kami sentiasa bersalah dalam tidur dan jaga mereka,dalam tidur dan jaga kami. Maha Suci Allah yang tidak pernah tidur atau leka. Kami cintakan Nabi Muhammad s.a.w yang pernah yatim dan miskin tetapi kami gagal memuliakan anak-anak yatim dan miskin.
          Saudara-saudari, sentiasalah doakan kepada Allah dan nasihati kami supaya yakin bahawa didalam setiap kesulitan ada hikmah,nasihatiLAH kami bahawa janji-janji ALLAH adalah benar belaka. Dalam kesulitan menjadi khadam Madrasah terdapat banyak hikmah,antaranya sikap mengharap-harap dan menumpu kepada  kasih sayang ALLAH. Sikap berkasih sayang itu seharusnya melibatkan kedua pihak iaitu PENCIPTA dan YANG DICIPTA iaitu diantara ALLAH dan hambaNya walaupun ALLAH TIDAK BERHAJAT KEPADA MAKHLUK. ALLAH telah menumpahkan kasih sayangNya kepada segala makhluk yang bernyawa dan tidak bernyawa lalu bagaimanakah kita menzahirkan balasan cinta kasih sayang ALLAH. Cukupkah dengan lafaz ALHAMDULILLAH walaupun setiap lafaz menumbuhkan sepohon tanaman disyurga sedangkan apabila disebut nama ALLAH  jiwa kita tak pernah gementar? Dari semenjak kanak-kanak kita diajar menyebut BISMILLAHI RAHMANI RAHIM tetapi kita tidak pernah menangis merindui ALLAH sedangkan kita selalu menangis merindui ibunda atau kekasih tercinta sedangkan ALLAH menyayangi seorang insan jika mampu diumpamakan ialah lebih daripada 70 kali cinta ibu kepada anak. Kita selalu menangis apabila meminta pertolongan ALLAH tetapi jarang sekali kita menangis apabila menerima anugerah kasih sayang ALLAH. Sebenarnya ALLAHlah yang mencukupkan keperluan Madrasah ini, bukan kami dan saudara-saudari.  Tetapi kita ingin merebut tawaran-tawaran ALLAH yang dinukilkan melalui NABI MUHAMMAD s.a.w. Setiap berita tentang kesusahan saudara Muslim adalah tawaran istimewa dari Allah samada kita mahu membantu atau tidak. Sudah tentu bukan semua tawaran dapat kita penuhi kerana tahap kemampuan kita yang berbeza,tetapi doa dan zikrullah ialah bukti kesediaan kita untuk membantu saudara muslim yang lain. Lalu kerana ingin doa diterima ALLAH kita berusaha merayu pertambahan rahmat kasih sayang ALLAH melalui penambahan solah-solah sunat,mengingati ALLAH, tafakur,tadabbur dan muhasabah yang membawa kepada sikap bersyukur kepada ALLAH dalam penjalinan kisah cinta kasih sayang ALLAH dan hambaNya . Sahabat-sahabatku,ingatkanlah diri-diri kita supaya sentiasa menghayati TAFSIR AL-FATIHAH,Al-IKHLAS dan lain-lain firman ALLAH. Ingatkan kami agar menghayati apa saja ucapan kita kepada ALLAH semasa solah. Sejauh mana kebenaran ucapan kita kepada Allah ialah suatu pekara besar yang saudara-saudari perlu ingatkan kami. Ingatkan kami supaya setiap hari berusaha untuk membaca,mendengar dan beramal dengan Al-Quran dan Hadis kerana inilah makanan dan pakaian yang hakiki bagi setiap muslim.
         Kepada dermawan-dermawan yang telah bermurah hati menyokong Madrasah secara rahsia dengan memasukkan sumbangan melalui akaun bank atau kiriman secara tidak lansung,ketahuilah bahawa saudara-saudari telah mendorong kami supaya lebih tawajjuh menyembah dan bermohon kepada ALLAH s.w.t..Khusus kepada saudara-saudari yang bertambah-tambah zikrullahnya kepada ALLAH semasa dan setelah teringatkan Madrasah,kami yakin saudara-saudari dan pelajar-pelajarlah yang telah memohon kunci khazanah ALLAH untuk pelajar-pelajar fisabillillah. Moga-moga catitan dari hamba Allah yang fakir ilmu ini mendorong saudara-saudari menyebarkan kesedaran kepada kehebatan dan kemuliaan Allah sebelum nyawa kita mendekati tenggorok halkum dalam kemabukan menghampiri maut sepertinya seekor ikan dilautan yang termakan umpan pancing,disentap kail pemancing lalu kenallah ikan itu bagaimana rupanya dunia dan langit.Begitulah kita,bila maut menghampiri akan taulah kita bayangan syurga dan neraka lalu menyesallah semuanya kerana ternyata dunia ini sangat sebentar dan perhiasan yang amat melekakan.
          
Photobucket
Sesungguhnya solatku,ibadahku,hidupku dan matiku hanya kerana Allah seru sekalian alam….
Madrasah Tahfiz Al-Quran Al-Marjan
Bukit Malut
07000 Langkawi
Kedah Darul Aman
TEL:017-6782759/016-2221016
No. Pendaftaran SSM-KV0005533-X